Penyiasatan Tanah
Penyiasatan tanah di Semenanjung Malaysia bermula pada pertengahan tahun 1950-an. Tujuan utama penyiasatan tanah ialah untuk memetakan taburan dan luas jenis tanah yang wujud di sesuatu kawasan. Sepanjang lima puluh tahun terakhir dalam aktiviti tinjauan tanah, prosedur, metodologi pemetaan tanah dan pengelasan tanah telah mengalami banyak perubahan seiring dengan kemajuan yang ketara dalam bidang pedologi dan pengelasan tanah, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Kemajuan ini selari dengan peningkatan maklumat tanah dan pemahaman yang lebih baik mengenai tanah, serta selaras dengan keperluan pembangunan negara. Pengelasan tanah, sebagai contoh, telah berkembang daripada sekadar pengelasan tanah berdasarkan bahan induk (Paramananthan, 1978) kepada sistem pengkelasan berhirarki yang selaras dengan sistem antarabangsa yang diterima umum (Lim et al., 1996).
Tanah di Malaysia diklasifikasikan mengikut Taksonomi Tanah USDA. Dengan menggunakan struktur berheirarki dalam sistem ini, tanah diklasifikasikan hingga ke peringkat terendah dan diberi nama siri tanah. Siri tanah merupakan unit pemetaan asas yang digunakan dalam pemetaan tanah di Semenanjung Malaysia. Unit pemetaan bukan tanah diklasifikasikan sebagai unit pelbagai. Legenda FAO-UNESCO juga digunakan untuk mengklasifikasikan peta tanah di Semenanjung Malaysia. Maklumat ini disediakan bagi pembaca yang lebih biasa dengan sistem ini.
Di Malaysia, terdapat tiga jenis utama penyiasatan tanah: (i) Penyiasatan Tanah Tinjauan, (ii) Penyiasatan Tanah Separa Lengkap, dan (iii) Penyiasatan Tanah Lengkap. Perbezaan utama antara ketiga-tiga jenis penyiasatan tanah ini ialah skala dan unit pemetaan seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 1: Jenis-Jenis Penyiasatan Tanah di Malaysia
| Jenis Penyiasatan Tanah | Peta Asas | Luas Kawasan bagi Setiap Titik Pemeriksaan | Unit Pemetaan | Skala Peta Tanah |
|---|---|---|---|---|
| Penyiasatan Tanah Tinjauan | 1:63,360 | 128 ha 3-5 km x 400 m | Kesatuan Tanah Kompleks Tanah Unit Pelbagai | 1:253,440 1:500,000 |
| Penyiasatan Tanah Separa Lengkap | 1:25,000 | 20 ha 1 km x 200 m | Siri Tanah Fasa Tanah Kesatuan Tanah Kompleks Tanah Unit Pelbagai | 1:25,000 1:63,360 |
| Penyiasatan Tanah Lengkap | 1:5,000 1:6,336 | 4 ha 200 m x 200 m | Siri Tanah Fasa Tanah Kompleks Tanah Unit Pelbagai | 1:10,000 1:5,000 1:6,336 |
Penyiasatan Tanah Tinjauan merupakan jenis tinjauan pertama yang dijalankan, biasanya bagi suatu kawasan atau negeri, untuk mengenal pasti potensi tanah bagi pembangunan pertanian. Penyiasatan ini bermula pada awal tahun 1950-an dan memberi perancang maklumat berguna mengenai lokasi, keluasan, taburan dan ketersediaan tanah yang boleh digunakan untuk pembangunan pertanian. Penyiasatan ini selesai pada tahun 1967 dan Peta Tanah Cerapan Semenanjung Malaysia pada skala 1:500,000 diterbitkan setahun kemudian, iaitu pada tahun 1968. (Peta ini kemudiannya ditukar kepada data raster dan diterbitkan semula pada tahun 2001).
Setelah kawasan tanah pertanian yang berpotensi dikenal pasti, Penyiasatan Tanah Separa Lengkap dijalankan di kawasan tersebut untuk mendapatkan maklumat tanah yang lebih terperinci bagi perancangan dan pelaksanaan projek. Maklumat tanah separa lengkap diperlukan untuk perancangan, pengenalpastian dan pelaksanaan projek pertanian yang melibatkan pilihan, keluasan dan lokasi tanaman/aktiviti pertanian.
Penyiasatan Tanah Lengkap dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti boleh dibangunkan bagi pembangunan pertanian secara intensif. Ini membolehkan perancangan pengurusan tanah dan tanaman yang lebih terperinci dapat dijalankan bagi menyumbang kepada kejayaan sesuatu projek.