Klasifikasi Tanah & Siri Tanah
Sistem pengkelasan tanah yang digunakan di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan Taksonomi Tanah USDA (Soil Survey Staff, 1999). Rujukan juga dibuat kepada Legenda FAO-UNESCO. Prosedur berhirarki dalam pengkelasan tanah mengikut Taksonomi Tanah USDA yang mengikuti urutan berikut: Order > Suborder > Great Group > Subgroup > Family > Siri Tanah, digunakan untuk menentukan nama bagi setiap tanah individu.
Siri Tanah
Siri tanah merupakan unit pemetaan tanah asas yang digunakan di Semenanjung Malaysia. Dari segi taksonomi, ia merupakan kumpulan tanah paling kecil berdasarkan genetik dalam sistem pengkelasan ini. Siri tanah dinamakan berdasarkan tempat (contohnya bandar, estet, kampung dan sebagainya) di mana tanah tersebut kali pertama diterangkan dan diklasifikasikan, tanpa mengambil kira persamaan sifat dengan siri tanah yang telah direkodkan sebelumnya.
Siri tanah dibezakan terutamanya berdasarkan perbezaan yang ketara dalam sifat morfologi, kimia dan mineralogi tanah. Sifat-sifat ini termasuk jenis, ketebalan dan susunan horizon, serta struktur, warna, tekstur (kecuali tekstur horizon permukaan), tindak balas, konsistensi, kandungan karbonat dan garam lain, kandungan humus dan komposisi mineralogi. Perbezaan yang ketara dalam mana-mana satu daripada sifat ini di mana-mana satu horizon boleh menjadi asas untuk mengenal pasti siri yang berbeza.